Air mataku merembes laju
saat mendengarkan tuduhan emak terhadapku. Namun, bibirku seperti dikunci saat
ini. Tiada sepatah kata yang terlafaz sama ada bagi mengeyakan atau menidakkan
tuduhan itu. Biarlah emak menghamburkan segala kemarahannya kepadaku. Aku
terima walaupun aku ada sebab mengapa aku berbuat begitu. Lepaskanlah mak,
luahkan semua kesedihan mak, semua rasa amarah emak kepadaku. Aku terima
semuanya.
"Sampai hati kau Nia, sampai hati kau bersubahat dengan ayah kau.
Disebabkan duit sepuluh ringgit tu Nia sanggup tutup mulut daripada bagitahu
pada mak. Rasuah tu Nia. Kau tahu tak? Mak tak sangka perangai kau macam ni.
Aku benci kau!" Tersentak aku tatkala mendengarkan tuduhan itu. Kaklong,
Kakngah dan adik juga terkejut mendengar suara emak yang meninggi.
Benarkah kata-kata itu keluar daripada mulut emak? Mak benci aku?
Benarkah? Rasuah? Rasuahkah namanya jika aku meminta duit itu hanya untuk makan
tanpa ada niat apa-apa? Kenapa sampai begitu sekali tanggapan emak terhadapku?
Kaklong menggosok bahu emak yang juga sedang menangis, cuba menenangkannya. Emak kemudiannya bergegas ke
biliknya lantas menyambung tangis yang belum tentu bila sudahnya.
Aku pula? Hanya bisu dan kaku di atas sofa sambil menahan esakan yang
kian menjadi-jadi. Kakngah dan adik hanya menjadi pemerhati yang setia tanpa
berani menyoal sedangkan kaklong pula sudah mengekor langkah emak ke bilik.
Baguslah, emak memang memerlukan seseorang saat ini bagi menenangkan hatinya
yang rawan. Untunglah kaklong kerana dapat selalu berada di sisi emak dan
menjadi anak kesayangannya. Aku berdiri lantas melangkah lemah menuju ke
kamarku sambil membawa beg pakaianku. Aku baru sahaja pulang dari Pulau Payar.
Sampai sahaja di rumah, terus aku diserbu oleh emak dan dituduh sedemikian
rupa.
Sampai sahaja di bilik, aku terus menutup pintu lantas menyembamkan
wajahku pada bantal. Tangisan yang tidak berkesudahan kembali bergema. 'Ya
Allah, beri aku kekuatan untuk mengharungi ujian-Mu ini. Beri juga kesabaran
dan ketabahan kepada ibuku. Aku tahu dia tertekan dengan semua ini. Aku juga
tahu bahawa aku telah menambahkan lagi kekecewaan di hatinya. Ampunkan aku, ya
Allah kerana telah mengguriskan hatinya. Maafkan Nia, mak.' rintihku dalam
hati.
Mak tahu tak, Nia diamkan semua tu
sebab Nia tak nak luka di hati mak makin berdarah. Nia tak nak tengok mak
menangis lagi kalau mak tahu perkara ni. Tak ada niat pun nak rahsiakan perkara
ni daripada pengetahuan mak. Maafkan Nia, mak. Nia bukan anak yang baik macam
kaklong.
Deringan telefon menyentakkan aku daripada terus melayan perasaan. Satu
nombor yang tidak dikenali muncul di skrin. Aku segera menjawab dengan memberi
salam. Suara lelaki kedengaran menjawab salamku. Macam pernah didengar sahaja
suara itu tapi aku tidak pasti siapa gerangannya.
“Boleh saya bercakap dengan Nur Rania Binti Mohd Kamal?” soal lelaki itu
di hujung talian. Jantungku mula berdegup pantas. Siapa agaknya lelaki ini?
Siap menyebut nama penuhku lagi. Ada sesuatu yang pentingkah dia menghubungiku?
“Ya, saya. Ada apa encik?” soalku hormat. Air mata di pipi pantas
kukesat.
“Saya ada perkara penting nak bagitahu awak. Saya harap awak bertenang
dan banyak-banyak bersabar, okey?” Aduh, kata-katanya membuat hatiku makin
cemas. Ada apa sebenarnya?
“Baik, encik.”
“Sebenarnya… saya Faris.” Mendengarkan tawa lelaki itu membuatkan hatiku
terasa panas serta-merta. Nafasku mula turun naik tidak sekata. Terus sahaja
panggilan itu aku matikan. Kenapa dengan lelaki itu? Tidak puas lagikah hatinya
mengganggu aku selama empat hari di Pulau Payar? Baru petang tadi kami berpisah
dan malam ini dia sudah menghubungiku? Dari mana dia mendapatkan nombor
telefonku? Adakah Nora yang memberikannya?
Peristiwa di dalam bas siang tadi kembali terlayar di ruang mata. Ketika
itu aku duduk di sebelah Amirah. Nora mendekatiku dan menghulurkan gula-gula
kapas. Katanya dia beli lebih dan menyuruh aku berkongsi dengan Amirah. Tanpa
banyak soal aku terus menyambut pemberiannya itu. Tambahan lagi, aku memang
sukakan gula-gula kapas. Namun, kata-kata Amirah mula membuat aku kembali
berfikir.
“Betul ke Nora sengaja beli lebih? Kenapa dia tak bagi dekat kawan yang
duduk dekat dengan dia ja kat depan tu sampai sanggup mai kat belakang ni?”
Persoalan Amirah membuatkan aku sedar sesuatu. Tambahan lagi mata jejaka itu
asyik melingas ke arahku. Apabila aku menoleh, cepat-cepat dia berpaling ke
arah lain. Diakah yang membelikannya untukku? Oh, aku tak akan terima
pemberiannya.
“Kalau dia yang bagi, Nia tak mau la gula-gula kapas ni. Mirah tolong
bagi kat Nora balik boleh tak?” Nasib baiklah Amirah memahami dan terus
bergegas ke arah Nora yang tempat duduknya di belakang Faris. Aku dapat melihat
perubahan riak pada wajah lelaki itu apabila Amirah mengembalikan gula-gula
kapas itu kepada Nora. Setelah Amirah kembali duduk di sisiku, Nora memberikan
gula-gula kapas itu kepada Faris. Masam sahaja mukanya tanpa menyambut huluran
Nora. Pasti dia menyuruh Nora sahaja yang makan. Rezeki kau la Nora.
*
* * *
* *
Aku melalui hari-hariku dengan
semangat yang kian pudar. Saban malam aku tidur lewat kerana sering terdengar
pertelingkahan antara emak dan ayah. Setiap malam juga tidurku bertemankan air
mata. Aku tidak pasti sampai bilakah aku harus melalui rutin sebegini.
Ketika di dalam kelas juga aku banyak
termenung dan tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya pada guru yang sedang
mengajar. Adakalanya aku tidur sahaja apabila mata dan kepalaku terasa terlalu
berat. Amirahlah yang cepat menyedari perubahanku kerana dia duduk di sebelahku
ketika di kelas dan dia juga merupakan rakan baikku. Apabila ditanya, aku hanya
memberitahu bahawa aku tidur lewat kerana menonton drama. Itu sahaja alasan
yang mampu aku berikan saat ini
"Nia..." seru Amirah
perlahan apabila Cikgu Faridzul keluar dari kelas. Cikgu Faridzul merupakan
guru bagi subjek Sains Sukan dan dia jugalah yang menguruskan kem ke Pulau
Payar tempoh hari. Aku berpaling pada
Amirah di sisiku. Kelas ini mula riuh dengan suara-suara sumbang pelajar yang sedang berkemas mahu pulang. Aku
sahaja yang masih termenung di tempat duduk seolah-olah tidak mahu pulang.
"Aku tahu kau sembunyikan
sesuatu daripada aku. Kau nampak lain sangat sekarang ni. Kau dah tak ceria
macam dulu. Semasa cikgu mengajar pun kau nampak macam orang tengah berkhayal.
Fikiran kau bukan dalam kelas ni. Aku tahu. Kongsi la dengan aku, Nia. Kita kan
kawan. Kalau boleh tolong aku akan tolong." Aku diam seketika. Sememangnya
aku tidak dapat membohongi sahabatku yang seorang ini walaupun aku cuba
berlagak ceria di hadapannya.
"Tak ada apa-apalah, Mirah. Cuma
tak cukup tidur ja. Mirah jangan risau la, okey?" Jawabku cuba beriak
ceria.
"Emm... Tak apa la kalau macam
tu. Tapi janji dengan aku, jangan tidur lewat lagi ya?" usul Amirah. Aku
tahu dia tidak mempercayai kata-kataku. Cuma dia tidak mahu terlalu mendesak
apabila aku seperti mahu mengelak. Amirah kemudiannya meminta diri untuk pulang
dahulu kerana takut tertinggal bas. Aku hanya bergerak lambat-lambat ke arah
motosikalku.
"Nia..." Segera aku menoleh
ke arah insan yang menegur. Faris! Aku memberikan senyuman kepadanya.
Sebenarnya, aku sudah semakin rapat dengan Faris. Hampir 3 bulan kami sering
berhubung. Pada mulanya, dia menemuiku pada waktu rehat. Katanya dia ingin
meminta maaf atas perbuatannya ketika di Pulau Payar. Tujuannya hanya satu
iaitu untuk menarik perhatianku.
"Nia okey?" soalnya lantas
berjalan seiringan denganku.
"Okey kot."
"Kot ja? Emm... Is tak tahu apa
masalah sebenar Nia. Tapi Is harap Nia banyak bersabar ya." ujar lelaki
itu berhemah. Sepanjang 3 bulan ini, dialah yang banyak memberikan kata-kata
semangat kepadaku. Adakalanya timbul kekuatan dalam diri, tapi hanya seketika.
Tatkala pulang ke rumah, air mata kembali menitis. Sampai bila aku tidak tahu.
Yang pasti, peperiksaan SPM semakin hampir dan aku tidak dapat belajar dengan
tenang.
"In shaa Allah, Is. Nia
cuba." Hanya itu yang mampu kukatakan.
"Nia, kenapa Nia tak pernah
couple? Dan Is perasan yang Nia tak bergaul sangat dengan lelaki. Kenapa
ya?" Aku menjeling lelaki itu sekilas. Ya, benar katanya. Aku tidak suka
bergaul dengan lelaki. Cuma Faris satu-satunya lelaki yang berani berusaha
mendekatiku.
"Kepercayaan!"
"Kepercayaan?" Tanya Fikri
semula tidak mengerti.
"Ya, sebab kepercayaan Nia pada
lelaki tak ada. Banyak yang Nia dengar kawan-kawan Nia ada masalah dengan
lelaki. Nia jugak... hampir diperkosa oleh lelaki yang Nia tak kenali. Sejak tu
Nia hilang kepercayaan pada lelaki. Lagipun, mana ada istilah couple dalam
islam." Ceritaku kepada Faris. Rasanya tidak menjadi masalah jika
menyatakan kebenaran.
"Nia tak boleh samakan semua
lelaki macam tu. Ayah dan adik Nia pun lelaki jugak kan? Tapi diorang baikkan?
Jadi, tak baik Nia menghukum semua lelaki disebabkan sikap sesetengah lelaki
yang dah memang teruk." Bicara Faris. Ya, disebabkan ayahku lelakilah aku
semakin membenci golongan itu. Cuma Faris yang mampu mengikis sedikit rasa
sangsiku padanya.
*
* * * *
Aku menguap sambil menggeliat bagi
memulihkan semula lenguh-lenguh badanku. Hampir pukul 2 pagi. Sudah tiba
masanya untuk aku tidur. Tambahan lagi aku masih ada dua peperiksaan esk.
Setelah itu, tamatlah peperiksaan SPM. Emm... entah la bagaimana keputusannya
nanti. Aku sudah cuba semampuku. Walaupun hubunganku dengan emak tidak baik,
dia tidak lagi menyindir atau menuduh aku seperti dulu. Aku tahu, dia bimbang
aku tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaranku. Terima kasih, mak. Nia
hanya inginkan doa dan restu daripada mak.
Aku tersentak saat terdengar pintu
bilik kaklong diketuk. Siapa pula yang bangun pada jam begini dan pergi ke
bilik kaklong? Aku hanya mendiamkan diri di kamarku.
"Kenapa mak?" Terdengar
suara kaklong. Emak? Kenapa emak menemui kaklong pada waktu begini? Kalau ada
hal penting kenapa tidak menunggu esok sahaja?
"Kaklong..." lirih suara
emak menyeru sudah mampu membuatkan mataku berkaca.
"Mak tak kuat nak lalui semua
ni. Mak tak kuat, kaklong. Mak dah suruh ayah lepaskan mak, tapi dia tak nak.
Hati mak terseksa sangat." Ya tuhan. Mak minta ayah ceraikan mak? Andai
mak dan ayah berpisah, bagaimana dengan kami adik beradik? Tapi, aku juga tak
mahu hati mak terus terseksa dengan sikap ayah. Aku benci ayah!
"Kaklong, janji dengan mak ya.
Kalau jadi apa-apa pada mak, kaklong jaga adik-adik. Mak sayang kaklong, mak
sayang kamu semua..." suara mak terhenti di situ. Air mataku merembes lagi. Aku mengerti
perasaan emak. Emak benar-benar sudah tidak kuat untuk menanggung semua ini.
Mak... Nia pun sayang mak.
Aku membuka pintu perlahan-lahan dan
mengintai mereka yang sedang esak dalam tangisan. Mak, Nia teringin nak mak
peluk Nia macam mak peluk kaklong. Nia cemburu tengok mak dengan kaklong.
Mak... Tangisanku semakin menjadi-jadi.
Tiba-tiba mataku terlihat sesuatu
yang dipegang oleh emak pada tangan kirinya yang disembunyikan di belakangnya.
Aku cuba mengamati benda itu dalam suram cahaya. Tiba-tiba emak meleraikan
pelukannya dan menjarakkan dirinya daripada kaklong. Objek di tangan emak masih
tidak jelas pada pandangan mataku.
"Ingat pesan mak, kaklong. Jaga
adik-adik..." Aku tersentak saat mataku ternampak kilauan saat emak
menggerakkan tangan kirinya. Pisau!
"Mak!" jeritku lantas
menerpa ke arah emak. Emak meneruskan hajatnya dan cuba menikam dirinya. Aku
pantas merampas pisau tersebut sebelum sempat pisau itu mendarat di perut emak
lantas kulempar jauh. Emak mula meraung seperti terkena histeria manakala
kaklong hanya kaku selepas melihat keadaan yang tidak terduga tadi. Aku cuba
menyabarkan emak.
"Kenapa kau halang aku? Biar aku
pergi. Aku dah tak sanggup lagi. Biarkan aku mati. Aku benci kau. Aku benci
ayah kau!" Jerit emak lantas menolak tubuhku sehingga terduduk. Ya Allah,
kenapa sampai begini selali tingkah emak? Ya Allah, sedarkanlah ibuku semula.
Aku tak mahu dia terus begini.
"Kenapa ni? Sabar Jue,
sabar." Ayah memegang emak dan cuba menenangkannya. Kakngah dan adik juga
turut bergegas keluar tatkala mendengar suara emak yang meninggi itu.
"Aku benci Nia. Aku benci
kau!" Jerit emak lagi. Semakin lebat hujan air mataku mendengarkan
kata-kata yang keluar daripada bibir insan yang melahirkan aku. Mak...
*
* * *
* *
Alhamdulillah, peperiksaan SPM sudah
berakhir. Walaupun tertekan dengan apa yang berlaku awal pagi tadi, aku tetap
cuba sedaya upayaku. Hanya tunggu dan lihat hasilnya sahaja. Aku masih belum
mengetahui keadaan sebenar emak. Selepas ditenangkan oleh ayah pagi tadi, ayah
membawa emak ke bilik untuk berehat. Aku langsung tidak tidur semalaman kerana
asyik terfikirkan emak. Fikiranku runsing namun aku cuba mengawalnya sebaik
mungkin kerana aku perlu menumpukan pada peperiksaanku hari ini.
Tatkala melalui kawasan parking
motosikal, aku ternampak kelibat Faris dan rakan-rakannya. Mereka kelihatan
galak ketawa. Pasti ada sesuatu yang menggembirakan. Faris tidak menyedari
kehadiranku. Mungkin juga dia tidak tahu aku ada peperiksaan akhir hari ini kerana
aku tidak membalas mesejnya semalam. Sengaja aku matikan kerana tidak ingin
diganggu.
Faris... Lelaki itu telah berjaya
membuka hati ini. Sebulan yang lalu, dia sudah meluahkan hasrat hatinya.
Walaupun aku menolak apabila diajak ber'couple', jauh di sudut hati aku sudah
menerima dirinya. Aku tersenyum sendiri mengingatkan detik-detik perasaan
terluah itu.
"Aku tabik la dengan kau, Is.
Bukan senang nak 'tackle' minah sorang tu. Abang aku dulu pun pernah cuba tapi
dia tak pandang langsung.” Kata-kata kawannya itu menarik perhatianku untuk
terus mendengar. Siapa abang kepada kawannya itu? Dahulu memang ada
lelaki-lelaki yang cuba mendekatiku. Tapi aku hanya melayan biasa-biasa sahaja.
Aku tidak suka bergaul rapat dengan mana-mana lelaki sekalipun. Bukan mudah
untuk mempercayai lelaki.
“Ini Faris la. Siapa yang tak tergoda
dengan aku. Senang ja nak cairkan hati perempuan tu. Alah, macam orang cakap
la, hati perempuan ni macam kerak nasi. Jirus dengan air lama-lama nanti lembut
jugak. Hahaha.” Faris menyambung tawanya. Hatiku sudah tersentap.
Inikah lelaki bernama Faris yang aku
kenali selama enam bulan ini? Inikah sikap sebenar dia? Ya tuhan, kenapa saat
aku mula percaya kepadanya, semua ini terjadi? Memang benarkah tanggapanku
selama ini bahawa tiada lelaki yang boleh dipercayai? Kenapa dugaan-dugaan ini
datang serentak, ya Allah? Aku tidak kuat untuk melaluinya. Tubuhku terasa
lemah. Lututku terasa seperti tidak mampu lagi untuk menampung tubuhku.
Tiba-tiba salah seorang temannya
menoleh dan ternampak kelibatku. Terus berubah riak wajahnya. Dia mencuit bahu
Faris membuatkan lelaki itu turut menoleh ke arahku. Tampak pucat wajah itu.
Aku terus berlalu tanpa menunggu lama lagi. Faris pantas mengejar langkahku
sambil menjerit memanggil namaku. Aku melajukan langkah sehinggalah tiba di
tempat motosikalku diletakkan.
“Nia, please. Dengar dulu apa yang Is nak jelaskan. Is minta maaf, Nia. Memang Is salah tapi…”
“Cukup Is! Cukup la dengan lakonan Is selama ni. Nia muak tahu tak? Nia benci Is! Benci!” Seusai berkata begitu
aku terus memecut laju motosikalku meninggalkan lelaki itu. Namun, melalui
cermin sisi, aku ternampak senyuman sinis di bibirnya. Menitis lagi air mataku
tanpa dapat disekat. Kau kejam Faris. Kejam!
* * *
* * * *
Dua tahun kemudian…
'Hati ini
milik Allah,
Dia yang
wujudkan segala rasa,
Suka, duka,
gembira, sedih,
Rindu, sayang,
cinta dan benci,
Semua itu bisa
datang dan pergi tanpa kita pinta,
Tanpa kita
undang,
Adakalanya
kita meningkah dan menolak,
Tapi takdir
membatasi segalanya,
Kita cuba
merancang,
Tapi
perancangan Allah itu lebih baik,
Sabar dan
redhalah dengan ketentuan ini,
Kerana Allah
akan berikan kita pelangi yang indah,
Setelah hujan
mulai reda…'
Satu puisi terlakar lagi pada dinding
hatiku. Hembusan angin pagi yang lembut menyapa tubuhku. Matahari kian terbit
dari ufuk timur. Indah. Sangat indah ciptaan tuhan. Dengan izin-Nya juga,
kembali lagi aku di pulau ini. Pulau Payar yang merupakan salah satu taman laut
yang terdapat di Malaysia. Semua ini atas jasa baik Cikgu Faridzul yang
membenarkan aku menyertai kem pencinta alam ini memandangkan aku sedang dalam
cuti semester. Hari ini adalah hari kedua aku di sini. Alhamdulillah, aku
menemui ketenangan yang aku cari selama ini.
Aku juga merupakan salah seorang
fasilitator di sini atas permintaan Cikgu Faridzul. Aku ingin menikmati
hari-hari di pulau ini dengan sebaik-baiknya sebelum menyambung pengajianku di
Universiti Utara Malaysia dalam semester 3.
Alhamdulillah, sejak kejadian emak
hampir membunuh diri dua tahun lalu, ayah mula berubah. Dia memutuskan
hubungannya dengan janda itu dan telah berhenti daripada terus bekerja di
kilang itu. Sekarang ayah membuka sebuah kedai runcit dan diusahakan bersama
emak. Semoga ayah benar-benar insaf.
Hubunganku dengan emak juga lebih
baik sekarang. Emak sudah memaafkan aku setelah kaklong membantuku menerangkan
perkara yang sebenar kepada emak. Namun, hubunganku dan adik beradik yang lain
tidaklah sebaik dan seakrab hubungan kaklong dengan emak. Hanya dia yang lebih
pandai mengambil hati emak. Walaupun begitu, aku sudah cukup bersyukur.
Tiba-tiba teringat akan kata-kata
Faris satu ketika dahulu. Katanya, aku seorang yang manja sebenarnya. Hmm...
siapa yang tidak manja pada orang yang disukainya? Tambahan lagi, pada siapa
lagi aku ingin bermanja jika dengan keluarga sendiri aku tidak mampu?
Soal lelaki? Setakat ini, biarlah
kukuburkan dahulu. Bukan mudah untuk menerima insan lain setelah diri ini
pernah dikhianati. Sekadar berteman, itu tidak mengapa. Untuk satu perhubungan
yang lebih serius, aku tidak mampu. Adakah aku sudah menutup pintu hatiku untuk
mana-mana lelaki pun? Itu juga aku tidak pasti. Yang pasti, aku takut untuk
kecewa lagi.
Cinta Faris, biarlah menjadi sejarah
pahit dalam hidupku. Aku terpaksa mengambil masa yang lama untuk bangkit
semula. Dan aku tidak mahu perkara itu berulang kerana aku takut, aku tidak
mampu untuk bangun lagi!
"Assalamualaikum..." sapa
seorang lelaki. Aku pantas menoleh. Seorang lelaki yang tidak aku kenali
tersenyum mesra ke arahku. Kalau tidak silap, dia ialah Rafiqi yang merupakan
salah seorang fasililator di sini. Aku tidak terlalu mengenalinya. Apa yang
pasti, hari pertama aku di sini dia sudah pernah menghulurkan salam perkenalan
kepadaku. Melihatkan caranya sahaja, aku sudah dapat meneka sesuatu. Ada niat
tersembunyi di sebalik salam perkenalan itu. Dia seperti menginginkan satu
perhubungan yang lebih akrab.
Namun, aku sering kali mengelak.
Kerana bagi aku, lelaki itu ibarat sebuah kapal manakala wanita pula adalah
pelabuhan. Mereka belayar dan berlabuh di mana-mana pelabuhan sahaja yang
menjadi keinginan mereka. Kemudian, mereka kembali belayar pergi dan singgah ke
pelabuhan yang lain. Tidak mungkin akan kembali lagi ke pelabuhan ini.
‘Ya Ilahi, hanya cinta-Mu yang
hakiki. Akan kugapai cinta-Mu supaya aku mampu ke syurga-Mu. Bukan lagi memburu
cinta manusia yang ada pasang surutnya. Yang sentiasa berbolak-balik hatinya.
Hanya cinta-Mu cinta abadi...’
No comments:
Post a Comment