Sunday, 25 May 2014

CERPEN : MENGGAMIT CINTA (bahagian 1)

Hari ini merupakan hari pertama aku tiba di pulau payar. Hatiku mula terpaut saat pertama melihat keindahan yang terdapat di sini. Aku terpanggil untuk datang ke sini bagi menjalankan tanggungjawab  sebagai seorang insan untuk memelihara hidupan laut. Saat aku tiba, terasa seolah-olah kehadiranku disambut dengan gembira oleh hidupan laut di sana. Mereka seolah-olah tahu yang kehadiranku ini bukanlah musuh tetapi sebagai sahabat.
            Setelah berehat seketika, aku bersama teman-teman diarahkan berkumpul di dewan untuk majlis perasmian oleh komander iaitu Cikgu Rashid. Kelihatan semua peserta kem masih kepenatan setelah mengharungi perjalanan yang jauh. Agak lucu aku melihat temanku sendiri hampir tersungkur layu kerana terlalu mengantuk. Apa-apa yang diperkatakan oleh cikgu hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
            Seusai makan tengahari, kami dibahagikan kepada 8 kumpulan. Semua kumpulan terdiri daripada 10 orang ahli. Antara ahli kumpulanku ialah aku, Azlina, Nora, Fikri, Sufian, Saiful dan 4 orang pelajar perempuan tingkatan 4. Walaupun baru berkenalan, kami dapat menyesuaikan diri dengan baik sekali.
            “Mirah, hang kumpulan dengan sapa?” aku menyoal teman baikku.
            “Dengan anak cikgu Rashid. Macam tak percaya ja aku boleh 1 group dengan dia. Gaya dia sama dengan seorang lelaki yang pernah hadir dalam mimpi aku. Rasa nak menjerit sekuat hati ja.” Jawab Amirah dengan nada tidak percaya.
            “Emm… best la tu. Nia jugak sorang-sorang….” Kataku sayu.
            “Ye la tu. Tapi aku rasa yang jurang antara kami terlalu besar untuk  bersama… umur dia pun lebih muda daripada aku 2 tahun tau. Ala, hang jangan la risau. Nanti ada la orang jauh yang berkenan dekat hang.”
            “Harap-harap la. Tapi biarlah. Nia malas la nak fikir pasal tu.”
            “Kalau hang malas fikir, biar aku fikir ajelah… hang duduk sana diam-diam… biar aku fikirkan apa yang patut aku fikirkan…  ish! Apa aku merapu ni? hang fikir sendiri la….” Aku menjeling tajam pada Amirah. Kalau bab nak kenakan aku dia memang pandai.
            Aku duduk di atas pasir yang memutih. Amirah sudah melangkah masuk ke dalam ruang yang disediakan untuk kami tidur sepanjang empat hari di sini. Mata aku masih belum mengantuk. Aku menghirup udara malam yang sangat menyegarkan. Tubuhku terasa bagai dibelai oleh angin yang menderu. Walaupun keadaan di sini sangat mendamaikan, namun masih belum mampu memadamkan ingatanku terhadap peristiwa yang berlaku seminggu yang lalu. Aku memejam mata buat seketika.
            Peristiwa itu kembali terbayang di ruang mata. Ya Allah, apa yang perlu aku lakukan untuk melenyapkan ingatanku terhadap peristiwa itu? Cukuplah hanya buat sekatika. Aku inginkan ketenangan dan ingin menikmati keindahan di pulau ini. Jangan biarkan peristiwa itu mengganggu ketenangan emosiku. Saat aku membuka mata, beberapa titis air mataku gugur juga tanpa dapat disekat. Aku membiarkan sahaja mutiara-mutiara itu mengalir di pipi. Aku tidak mampu untuk menahan tangisan ini lagi.
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
“Jom kita makan dulu. Aku lapar la,” ajak Amirah setelah mereka keluar dari pekarangan Hospital Baling. Tujuan mereka pergi ke hospital adalah untuk melawat kakak Amirah yang baru melahirkan anaknya. “Nia tak bawak duit lebih la. Kita balik makan kat rumah ja la,” balasku. Sememangnya aku hanya membawa duit cukup untuk tambang bas sahaja. Tidak terfikir pula untuk makan di kedai.
            Namun, Amirah tetap mengajak aku makan juga alang-alang kami sudah dekat dengan kedai makan. Katanya, dia akan pinjamkan duitnya terlebih dahulu. Esok-esok baru aku bayar semula. Aku menurut sahaja memandangkan perutku juga sudah berkeroncong. Saat kami tiba di hadapan kedai makan, mataku terlihat kelibat seseorang yang sangat aku kenali di seberang jalan. Amirah turut melihat ke arah yang sama.
            “Eh, ayah kau kan?” Soal Amirah. Aku pantas mengangguk dan mengajak Amirah menemaniku menemui ayahku terlebih dahulu. Maka bolehlah aku meminta duit kepada ayah untuk makan. Tidak perlulah aku meminjam duit Amirah. Apabila semakin hampir, barulah aku sedar bahawa ayahku tidak bersendirian. Ada dua orang wanita sedang berbual-bual dengannya. Mungkin kawan di tempat kerja ayah, fikirku.
Ternyata, raut wajah ayah berubah saat terpandangkanku. Aku hanya beriak biasa lantas meminta duit daripada ayah. Tanpa banyak soal, ayah terus menghulurkan duit kepadaku. Aku kemudiannya berlalu bersama Amirah. Saat ingin kembali ke kedai makan, aku sempat melirik pandang wajah wanita di sisi ayah. Serta merta mataku berkaca. Ya Allah, janda itu lagi? Aku cuba mengawal emosiku. Perlahan-lahan aku menggelengkan kepala. Tak. Ayah cuma terserempak dengan mereka dan hanya berbual buat seketika. Tak ada sebab lain! Tegas hatiku, dan aku berharap apa yang aku fikirkan adalah benar. Namun, akal dan hati sudah saling meningkah.
“Oit, kau berangan apa ni? Tadi tu siapa? Kawan ayah kau ke?” soal Amirah yang tidak mengerti apa-apa.
“A’ah, kawan tempat kerja ayah.” Jawapan seringkas mungkin yang cuba aku berikan. Semoga dia tidak menyoal lebih lanjut. Alhamdulillah, Amirah tidak terus menyoal berkenaan ayah. Dia makan dengan penuh berselera.  Hanya seleraku yang mati setelah melihat sandiwara ayah bersama wanita itu lagi.
Terus wajah emak terbayang di ruang ingatan. Sayu wajah itu memandangku. Tiba-tiba satu perasaan simpati lahir di lubuk hati. ‘Mak, apa yang Nia nak buat sekarang mak? Ayah keluar lagi dengan perempuan tu. Nia tak sanggup nak bagitau mak. Nia tak nak tengok mak sedih dan menangis lagi. Nia tahu mak akan kecewa kalau tahu hal ini. Apa yang Nia patut buat sekarang ni mak?’ Sayu hatiku menyoal.
Dahulu, ayah pernah mengajakku berkelah bersama kawannya di kawasan air terjun. Emak mengizinkan tanpa banyak soal. Tetapi apabila sampai di sana, yang ada hanyalah perempuan itu bersama dua orang anaknya! Sejak itu, hubungan emak dan ayah sudah tidak seperti dahulu lagi. Ayah sudah memberitahu emak bahawa dia sering keluar bersama janda itu. Emak tidak dapat menerima hakikat itu dan mereka sering bertengkar saban malam. Walaupun mereka hanya bergaduh di dalam bilik dan pada waktu lewat malam, aku tahu tentang itu.
Bilikku hanya bersebelahan dengan bilik mereka dan aku mudah terjaga jika terdengar sebarang bunyi. Hampir setiap malam, aku terdengar pertelingkahan antara emak dan ayah. Aku turut mendengar esakan emak selepas mereka berbalah. Air mataku turut mengalir saban malam apabila mendengar pergaduhan itu. Tambahan lagi apabila mendengar esakan emak. Aku tahu, emak cuba jadi kuat dan cuba sembunyikan hal ini daripada pengetahuan kami adik-beradik. Tapi aku tahu semuanya.
“Hey, kau berangan apa? cepatlah habiskan nasi tu.” Aku tersentak dengan teguran Amirah. Aku segera bangun dan membayar harga makananku. Mulutku tidak mampu lagi untuk menelan makanan itu. Amirah Nampak hairan dengan tingkahku. Tapi aku membiarkan sahaja dia dengan persoalan yang tidak terluah itu. Aku tidak mahu menceritakan soal peribadiku kepada orang lain. Ia seolah-olah mengaibkan keluarga sendiri.
“Awak!” Aku tersentak lantas menoleh. Seorang lelaki sedang berdiri berhampiranku dengan pandangan yang penuh persoalan. Saat ini baru aku sedar, aku kini masih berada di tepi pantai dan… Ya Allah, wajahku sudah basah dengan air mata! Aku tidak menyambut sapu tangan yang dihulurkan itu. Aku menyapu wajahku yang basah hanya dengan lengan baju lantas aku berlari meninggalkan lelaki itu yang terpinga-pinga.
Malunya aku. Bagaimana aku boleh terus-terusan melayan perasaan sedihku sehingga tidak sedar ada mata yang melihat? Aku mengenali lelaki itu. Dia ialah Faris, rakan sekumpulanku yang baru kukenali hari ini. Ya Allah, bagaimana aku ingin berhadapan dengannya sepanjang 4 hari aku di sini? Aku benar-benar rasa malu. Dia lelaki pertama yang melihat aku menangis! Aku benar-benar berharap agar dia tidak menyoal apa-apa tentang apa yang dilihatnya sebentar tadi. Semoga semuanya berjalan dengan lancar.
            *          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Hari ketiga di sini sudah buat aku kerimasan. Mana tak rimasnya, kalau boleh setiap masa si Faris tu tak mahu berenggang dengan aku. Aku tahu la kami satu kumpulan, tapi tak bermakna setiap saat dia perlu berada dekat denganku. Apa-apa aktiviti yang kami jalankan pasti dia akan bersamaku. Siap aku dilantiknya menjadi naik pengerusi. Mentang-mentang la dia sudah dilantik menjadi pengerusi bagi kumpulan kami, suka-suka dia ja nak lantik siapa yang layak jadi pembantunya. Sekurang-kurangnya buat undian, siapa yang lebih layak. Yang peliknya ahli kumpulan lain semuanya hanya bersetuju dengan cadangan Faris. Aghhh… stresnya!
“Nia!” Jerit lelaki itu apabila aku tidak menghiraukan panggilannya yang sudah berkali-kali. Kakiku laju sahaja melangkah untuk menjalankan aktiviti kami yang seterusnya iaitu mencari sampah-sampah yang boleh dikitar semula. Apa lagi yang lelaki itu mahukan? Tidak bolehkah biarkan aku bersama dengan kawan-kawan yang lain? Dan yang lebih menghairankan, kenapa rakan-rakan yang lain seolah-olah memberi peluang kepada kami? Kenapa tiba-tiba mereka menjauhkan diri daripadaku?
“Nora, awat hang pi jauh sangat? Awat tinggal Nia dengan mamat tu?” Tegurku apabila sudah berada di sisi Nora. Nora tersengih.
“Alaa, aku bagi can kat korang. Kesian pulak kat Faris tu tergila-gilakan kau.”
“What?” Terjerit aku mendengar kata-kata Nora. Nora yang mula sedar ketelanjuran dalam percakapannya itu terus menutup mulut. “Apa kau cakap ni?”
“Alah, hang ni pun satu. Tak kan yang tu pun nak kena aku terangkan. Semua orang tau la yang Faris tu tengah ngorat hang. Awat hang tak layan dia? Kesian dia tau.” Faris sukakan aku? Mustahil. Kami baru 3 hari di sini. Mana mungkin begitu cepat dia jatuh hati? Pasti ada sesuatu yang aku tak tahu ni.
Aku memandang  Faris yang sudah semakin hampir denganku. Kenapa agaknya? Ah, aku malas fikirkan perkara ini. Tak penting pun. Lagi pun, dia lebih muda setahun daripada aku. Dah macam adik-adik ja. Mana mungkin dia boleh suka pada aku?
''Ish, kenapa jalan laju sangat ni? Tunggu la Is,'' ujar lelaki itu sambil termengah-mengah.
"Buat apa nak tunggu hang. Hang pi la cari kat tempat lain. Luas lagi kawasan ni. " Geram betul aku dengan mamat ni. Yang si Nora dah hilang entah ke mana. Laju betul minah tu hilang lepas nampak Faris ni datang. Adus... stres!
"Ala, salah ke saya nak cari sama-sama dengan Nia? Baru ada semangat sikit and sweet," usulnya sambil tersengih. Aku sudah menjengilkan mata. Biar betul mamat ni. Dah pandai cakap sweet sweet dah. Oh tidak, perkara ini tak boleh terjadi. Aku perlu hindari dari awal sebelum semua ini tidak dapat dikawal. Nanti aku juga yang susah.
"Faris, tolong hormat saya sikit boleh tak? Semua junior panggil saya Kak Nia, dan awak jugak kena panggil macam tu!" Wah, tegas sekali aku berkata-kata. Jangan ingat aku ni nampak pendiam aku dikatakan lemah.
"Eleh, tua setahun pun nak belagak. Entah-entah tua berapa bulan ja. Tak da maknanya saya nak panggil Kak Nia. Awak tu yang kena panggil saya abang." Membuntang biji mataku mendengar kata-katanya kali ini. Berani betul dia cakap macam tu? Ah, stres! Aku terus berlalu meninggalkan dirinya.
*       *       *        *        *      *
Aku termenung lagi sambil menikmati alam kurniaan tuhan yang tidak ternilai harganya. Dalam suasana yang tenang dan damai ini, satu puisi sempat kugarap hanya dalam hati.
'saat hati terasa sunyi,
akan hadirkah insan untuk mengisi,
ruang kosong tidak berpenghuni?
jika hadirnya insan misteri,
akan dapatkah dia memahami,
badai samudera yang melanda hati?
akan dapatkan beban ini dikongsi,
pada insan misteri yang baru kukenali?'
Oh tidak! Kenapa puisi yang terlintas di fikiranku kala ini lebih terjurus ke arah lelaki itu? Insan misteri? Fariskah? Agh, kenapa aku boleh terfikirkan dia? Sabar Nia, malam ni adalah malam terakhir aku kat sini. Esok pagi kami akan bertolak pulang. Aku tidak akan diganggu oleh lelaki itu lagi. Ya, mudah-mudahan. Doaku dalam hati.
"Hai, awak di sana," sapa lelaki itu. Hah, dia dah mai dah. Aku baru nak tenang-tenangkan diri. Kenapa la dia tak boleh biarkan aku sendiri?
"Awak marah saya ke?" soal lelaki itu setelah berlabuh di sisiku. Mujurlah dia tidak duduk terlalu hampir denganku. Bermakna dia tahu batas-batas pergaulan antara kami. Aku masih membisu sambil melepas pandang ke tengah laut. Jika diikutkan hati kecilku, aku tidak mahu pulang ke rumah. Tambahan lagi apabila terfikirkan masalah yang sedang membelenggu keluargaku. Tetapi apabila memikirkan perihal insan di sisiku ini, aku seperti ingin pulang sekarang juga. Agh, hati dan akal tidak selari lagi. Aku mengeluh lemah.
"Sebenarnya, tak elok kita mengeluh. Semua masalah yang hadir dalam hidup kita adalah ujian Allah bagi menguji iman hambanya. Berdoa dan berusahalah. Yang penting jangan sesekali tinggalkan Dia tak kira sewaktu kita susah mahupun senang." Wah, panjang lelaki itu berbicara seolah-olah dia memahami apa yang sedang menyelubungi hatiku kini.
"Ujian kali ni rasa berat sangat. Tak tahu macam mana nak hadapi semua ni." Entah kenapa tiba-tiba aku rasa senang berbicara dengannya kali ini. Dia tampak lebih manis dan sejuk mata memandang tika ini dengan seluar slack dan t-shirt biru berkolar. Ada songkok hitam di atas kepalanya. Kali ini dia tersenyum padaku. Mungkin gembira aku membalas bicaranya dengan lembut kali ini.
"Setiap apa yang berlaku pasti akan ada hikmahnya dan setiap masalah ada penyelesaiannya. Cuma cepat atau lambat dan juga atas usaha kita. Bangkitlah Nia. Saya dapat nampak perubahan awak. Awak dah tak ceria macam dulu dan awak nampak tak bersemangat. Awak terlalu memikirkan sesuatu tapi tak mungkin dapat menyelesaikannya jika awak hanya melayan perasaan sedih awak tu." Kali ini aku tersentak mendengar kata-kata lelaki itu. Memang benar, aku sering memikirkannya tetapi aku langsung tidak mendapat jawapan. Tapi... dia nampak perubahan aku? Ini bermakna dia sering perhatikan aku? 

"Maaf Nia. Sebenarnya dah lama saya perhatikan awak. Saya suka dengan cara dan penampilan awak yang sopan. Tapi saya tak berani nak dekati awak. Sekarang, saya cuba gunakan peluang ni untuk dekati awak alang-alang kita ditakdirkan satu kumpulan kat sini. Mungkin cara saya tak betul. Saya minta maaf ya. Emm, dah lewat ni. Saya masuk dulu. Awak pun pergilah tidur. Assalamualaikum..." seusai berkata begitu, Fikri terus berlalu meninggalkanku yang masih terpinga-pinga. 

No comments:

Post a Comment